HALAMAN 2

Jumaat, 16 Ogos 2013

NOTA SAJAK DIRGAHYU BAHASAKU - ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU

ANALISIS 
ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU


Sajak Dirgahayu Bahasaku – Ahmad Sarju 

Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah.

Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh.

Cekal dan waja semanagt pejuangku
hak bangsaku memilikimu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dank e selatan bahsaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru.

( September 2000)
Manuskrip Luka Bangsa, 2006
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)




Maksud 
Rangkap 1
Bahasa kebangsaan sepatutnya diangkat martabatnya kerana menjadi hati dan nurani bangsa Malaysia yang berbudi, setia dan amanah kepada negara.

Rangkap 2 
Bahasa kebangsaan merupakan maruah bangsa yang mesti dipelihara martabatnya supaya utuh dan kukuh dalam menempuh dunia yang semakin canggih serta berperanan untuk menjadi alat untuk menyatukan bangsa.

Rangkap 3
Para pejuang bahasa telah berjuang untuk mempertahankan bahasa kebangsaan supaya kekal menjadi milik rakyat negara ini dan sentiasa akan mendaulatkannya dalam era globalisasi ini.

Rangkap 4 
Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi bahasa perantaraan dalam bidang diplomatik di peringkat antarabangsa.

Rangkap 5
Diharapkan agar bahasa kebangsaan akan terus berkembang di peringkat antarabangsa iaitu digunakan sebagai bahasa ilmu dan menjadi bahasa yang melambangkan kesopanan bangsa Melayu. Bahasa kebangsaan akan terus digunakan sebagai bahasa perpaduan dan berupaya untuk menghadapi rintangan dan mencaipta kejayaan dalam alaf baru ini.

Tema
Bahasa kebangsaan perlu dipelihara dan dimartabatkan darjatnya.

Persoalan
1. Sayang akan bahasa kebangsaan
2. menghargai sumbangan bahasa kebangsaan
3. hormat akan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu
4. keyakinan dan optimis akan masa depan bahasa kebangsaan

Gaya Bahasa
1. Sinkof – tempatmu, bangsaku, memilikimu, pelautku, bahasaku, mendaulatkanmu, bahasamu, tak
2. Metafora – lautan bijaksana
3. Personifikasi – Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
- bahasaku mencengkam
4. Inversi – gagah pelautku membelah lautan 
- di arena antarabangsa suaramu tumbuh
5. Anafora – hak bangsaku memilikimu
                    hak bangsaku mendaulatkanmu
6. Pengulangan – ke barat dan ke timur
                           ke utara dan ke selatan

Nilai 
1. Semangat patriotik
2. Hormat-menghormati 
3. Semangat perpaduan
4. Yakin diri 

Pengajaran
1. Kita hendaklah menyayangi bahasa kebangsaan kita sendiri.
2. Setiap rakyat negara ini haruslah memartabatkan bahasa kebangsaan.
3. Kita mestilah yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.
4. Kita perlulah menggunakan bahasa kebangsaan untuk memupuk perpaduan kaum.

Tiada ulasan: