HALAMAN 2

Sabtu, 15 Mac 2014

LATIH SAJAK DIRGAHAYU BAHASAKU - SET 1 - MODEL 1 (SPM NOV 2013)

Sajak Dirgahayu Bahasaku – Ahmad Sarju 

Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah.

Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh.

Cekal dan waja semanagt pejuangku
hak bangsaku memilikimu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dank ke selatan bahsaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru.

( September 2000)

(i) Nyatakan dua kepentingan bahasa Melayu seperti yang digambarkan dalam sajak tersebut.         [2 markah]

(ii)  Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menjadikan bahasa Melayu dikenali pada peringkat antarabangsa? [3 markah]

(iii) Selain persoalan kepentingan bahasa Melayu, jelaskan dua persoalan lagi yang terdapat dalam puisi tersebut.       [4 markah]




JAWAPAN

(i)      Dua kepentingan bahasa Melayu seperti yang digambarkan dalam sajak tersebut ialah bahasa Melayu menjadi hati nurani bangsa. Bahasa Melayu juga mempunyai kepentingan sebagai maruah bangsa dan sebagai bahasa perpaduan.

jawapan-jawapan lain.

-   sebagai bahasa ilmu
-   sebagai bahasa komunikasi


(ii)    Pada pendapat saya, usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk  menjadikan bahasa Melayu dikenali pada peringkat antarabangsa ialah dengan memasarkan buku-buku bahasa Melayu ke luar negara.    Selain itu, pihak kementerian kebudayaan juga boleh menghantar delegasi budaya Melayu ke luar negara supaya diketahui oleh masyarakat dunia.  Akhirnya, pertandingan yang menggunakan bahasa Melayu juga boleh dianjurkan pada peringkat antarabangsa.

jawapan-jawapan lain
-   memasarkan atau mempromosikan filem Melayu ke luar negara
-   menggunakan bahasa Melayu pada setiap label produk barang eksport Malaysia.


(iii)  Dua persoalan lain yang terdapat dalam puisi tersebut ialah persoalan kedudukan bahasa Melayu di negara ini , iaitu bahasa Melayu perlu dimartabatkan di negara ini agar tetap kukuh dan dapat dibanggakan.  Selain itu, terdapat juga persoalan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini.  perjuangan memartabatkan bahasa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.

jawapan lain
- persoalan sejarah kegemilangan bahasa Melayu
iaitu bahasa Melayu mempunyai sejarah kegemilangan yang tersendiri.

Tiada ulasan: